Mohd Ridzuan Abdullah
Mohd Ridzuan Abdullah

BANGI – Pakatan Harapan hanya mempergunakan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menaja parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah berkata, pelantikan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sebagai Perdana Menteri ketujuh hanyalah ‘wayang’ parti tersebut yang ingin menjadikannya sebagai penaja daripada aspek kewangan semata-mata.

“Kita lihat Pakatan Harapan bergantung kepada Tun M disebabkan kewangan.

“Sebuah parti perlu dana yang begitu besar kalau tiada dana susah bertanding, dengan adanya pengaruh Tun M sudah tentu mereka dapat pelbagai dana dan penajaan.

“Untuk tujuan itulah parti di bawah Pakatan Harapan bergantung dengan Tun M,” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti tersebut hari ini.

Dalam masa sama beliau yakin Mahathir tidak akan berjaya menunaikan semua misinya untuk negara seperti mana yang diuar-uarkan dalam satu majlis baru-baru ini.

Jelas Mohd Ridzuan, matlamat calon Perdana Menteri Pakatan Harapan yang kononnya dikhususkan kepada jalan penyelesaian terhadap cara rakyat menyara hidup hanya akan tergendala sekiranya beliau mengembalikan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti mana yang dipersetujui gabungan itu.

“Tidak mungkin dapat laksana dalam waktu terdekat. Selepas Datuk Seri Anwar dapat keampunan beliau akan diganti sebagai Perdana Menteri sementara boleh kata lima bulan dia jadi Perdana Menteri, dia boleh laksanakan tujuh perkara ini.

“Mustahil ia boleh dilaksana apabila Anwar dilantik sudah tentu misi dan visi berbeza dengan Tun M,” ujar beliau. -MalaysiaGazette