Baihakki Khaizan pernah beraksi bersama JDT.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain import Johor Darul Ta’zim (JDT), Baihakki Khaizan menolak tawaran bersama pasukan Divisyen Dua Arab Saudi, Jeddah Club sebaliknya menyertai pendatang baharu Liga Super 2018, Kuala Lumpur.

Pemain kebangsaan itu dijangka di Kuala Lumpur untuk menantangani kontrak dengan pasukan The City Boys itu.

Berita itu disahkan oleh laman Twitter Singapore Football.

Pengalaman yang dimiliki oleh Baihakki, 33, menjadi taruhan buat pengendali Kuala Lumpur, Fabio Maciel untuk menguatkan benteng pertahanan skuad warga kota itu.

Baihakki merupakan pemain keenam dari Singapura yang bakal beraksi dalam saingan Liga Super 2018 selain Harris Harun (JDT), Safuwan Baharuddin (Pahang), Faris Ramli (PKNS FC), Madhu Mohana (N.Sembilan) dan Shahdan Sulaiman (Melaka United).

Baihakki mempunyai 129 caps dengan skuad kebangsaan Singapura dan telah mewakili negaranya sejak berusia 20 tahun.

Minggu lalu, pertahanan berpengalaman Singapura itu dilaporkan oleh The Straits Times dalam proses perbincangan bersama kelab yang berpengkalan di Arab Saudi, Jeddah Club.

Baihakki telah menghadiri sesi pemilihan bersama kelab tersebut selepas ejennya, Ashikin Hashim dan rakan ejen di Arab Saudi, menetapkan sesi tersebut ketika Baihakki sedang menjalani ibadah umrah bersama keluarganya.

Jeddah Club beraksi di Divisyen 2 dalam Liga Arab Saudi dan ketika ini berada di kedudukan ke-14 daripada 16 pasukan.

Kelab tersebut dikhabarkan telah menawarkan kontrak empat bulan kepadanya.

Ejen di Arab Saudi, Faisal Bineissa, yang menguruskan urusan perbincangan kontrak Baihakki dengan Jeddah Club memaklumkan bahawa kelab tersebut sangat tertarik dengan aksi yang dipamerkan Baihakki.

Baihakki telah menghabiskan separuh daripada kariernya di luar Singapura apabila pernah beraksi bersama Persija Jakarta, Persib Bandung, Medan Chiefs dan juga terakhir bersama JDT. – MalaysiaGazette