Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sejajar dengan dasar transformasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) akan memperkenalkan gerabak kelas perniagaan pada September  ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, KTMB yang telah berusia 133 tahun kini akan tampil dengan wajah baharu dengan memberikan perkhidmatan lebih efisien kepada pengguna.

Antaranya, dengan memperkenalkan gerabak kelas pertama selain daripada menyediakan kemudahan WiFi percuma bukan sahaja untuk kelas pertama tetapi untuk semua pengguna ETS secara keseluruhan.

“KTMB telah melalui transformasi yang sangat baik dan efisyen selama hampir 133 tahun. Perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan oleh KTMB juga telah melonjakan ekonomi kerana pembinaan infrastruktur baik di negara ini.

“Semoga rakyat nampak transformasi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang mengutamakan agenda rakyat. Kita juga harap dapat sokongan rakyat tidak berbelah bahagi.  Gerabak kelas pertama yang akan dilaksanakan tahun ini dari Kuala Lumpur ke Padang Besar merupakan antara yang pertama kali,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Khas ‘Pride of Workmanship’ sumbangan Kelab Rotary Malaysia kepada 66 kakitangan KTMB hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd. Rani Hisham Samsudin berkata, pihaknya akan memperkenalkan ruang menunggu atau lounge mewah kepada pengguna kelas pertama.

“Ini antara kemudahan yang akan kita tawarkan, kita masih lagi merancang kemudahan lain untuk keselesaan pengguna yang juga akan membayar lebih bagi perkhidmatan gerabak kelas pertama.

“Buat masa ini, kita mempunyai beberapa perancangan, antaranya seperti memperkenalkan menu makanan, selimut kerana perjalanan jauh selain perkhidmatan wifi.

“Mungkin akan ada lagi pada masa akan datang, semuanya masih dalam peringkat perancangan, yang pasti kita ingin memberikan keselasaan dan perkhidmatan terbaik untuk semua pengguna kita.

“Perkhidmatan wifi juga dalam perancangan, pada penghujung Mac atau awal April, kita akan lancarkan wifi percuma untuk semua pengguna yang menggunakan khidmat ETS,” ujarnya.

Dalam pada itu, seramai 66 kakitangan KTMB telah menerima anugerah tertinggi daripada Kelab Rotary Malaysia bagi menghargai perkhidmatan cemerlang yang telah dipamerkan oleh individu-individu ini.

Selain Sentral Sentral Kuala Lumpur, majlis penyampaian itu juga berlangsung secara serentak di tiga lagi lokasi berasingan iaitu di Stesen Butterworth, Pulau Pinang; Stesen Wakaf Baru Kota Baharu, Kelantan dan Stesen Kluang, Johor.- MalaysiaGazette