Antonio Conte

LONDON – Pengurus pasukan Chelsea, Antonio Conte memberi alasan bahawa faktor kepenatan oleh pemainnya menjadi penyebab perlawanan menentang Leicester di Stamford Bridge sekadar seri 0-0.

Bercakap kepada penyiar rancangan sukan Skyport, Conte berkata, keadaan itu berlaku selepas pasukannya berdepan dengan Arsenal pada separuh akhir Piala Carabao pada Rabu lepas.

“Jelas kelihatan ramai pemain yang kepenatan dan masih tidak dapat mengatasinya sejak perlawanan menentang Arsenal. Namun pada masa sama saya juga nampak adanya kesungguhan untuk memenangi perlawanan itu.

“Apabila kamu main setiap tiga hari, sepatutnya ada sistem bergilir. Misalnya, kami pernah lakukannya pada Piala FA, pasukan lain pula bermain untuk Piala Carabao.

“Bagaimanapun, kali ini hampir keseluruhan skuad kami yang menentang Leicester ini turut bermain pada Rabu lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Conte berkata, skuad bimbingannya itu terpaksa bekerja keras untuk memastikan tidak ketinggalan selepas Leicester mendapat beberapa percubaan namun, gagal disempurnakan dengan baik.

Persembahan yang ditunjukkan Chelsea bertambah baik selepas minit ke-68 apabila Ben Chilwell dikeluarkan, tetapi mereka belum dapat menguji kemampuan penjaga gol lawan, Kasper Schmeichel. – MalaysiaGazette