Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Dzulkifli Ahmad (dua kanan) diiringi Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (kanan) menampal pelekat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) pada salah sebuah teksi sebagai gimik perasmian Gerah di Kajang. foto HAZROL ZAINAL, 15 JANUARI 2018.

KAJANG – Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan beberapa lagi serbuan akan dilakukan dalam siasatan terhadap projek dasar laut yang menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, Seberang Perai Utara.

“Kita akan adakan beberapa serbuan di beberapa tempat di Pulau Pinang,” katanya menjawab bagi pihak Ketua Pesuruhjaya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam program Gerakan Revolusi Anti Rasuah dalam kalangan pemandu-pemandu teksi dan kereta sewa di Kajang hari ini.

Ketika diasak para wartawan, Dzulkifli pantas mengarahkan Azam menjawab soalan media berhubung isu berkaitan terowong berkenaan.

Khamis lalu, Azam berkata, 12 lagi lokasi penting, termasuk beberapa pejabat agensi kerajaan di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, disiasat berhubung isu pembinaan terowong dasar laut telah bagi mendapatkan maklumat.

Sehingga Sabtu lalu, 19 lokasi di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, termasuk beberapa pejabat agensi kerajaan di bangunan Komtar serta syarikat yang terbabit dalam pembinaan projek mega telah diserbu.

Katanya, serbuan itu bagi mendapatkan dokumen tambahan dan merakamkan percakapan saksi utama berkaitan projek dasar laut.

“Kita masih lagi menjalankan siasatan, reman kedua-dua suspek itu telah disambung lima hari lagi.

“Saya tidak menolak ada kemungkinan ada beberapa tangkapan lagi kita akan buat tapi saya tidak boleh kongsi lagi di sini.

“Siasatan masih diteruskan dan mengambil masa,” katanya bagi pihak Dzulkifli.

Ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan, Azam berkata: “Kami masih siasat, masih awal lagi untuk kita kongsikan maklumat itu. Kita fokus kepada keseluruhan siasatan baik kes terowong dan tanah, itu kita akan lihat,”.

Azam berkata, seramai 20 saksi terdiri daripada pegawai agensi kerajaan negeri serta pengurus sebuah syarikat pemaju yang dilantik melaksanakan projek mega itu telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

Malah katanya, SPRM tidak ada keperluan untuk memanggil Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan masih meneliti segala bukti yang ada.

Projek dasar laut menghubungkan Persiaran Gurney dengan Bagan Ajam, Seberang Perai Utara sepanjang 7.2 kilometer, yang dianggar membabitkan kos RM6.3 bilion dan dijadualkan siap pada 2027. -MalaysiaGazette