Datuk Seri Mah Siew Keong

KUALA LUMPUR – Perhimpunan aman oleh pekebun kecil sawit hari ini bagi membantah cadangan Kesatuan Eropah (EU) untuk mengharamkan biobahan api berasaskan sawit, merupakan bukti jelas kepada Parlimen dan Majlis Eropah serta Presiden EU bahawa para pekebun negara ini tidak berpuas hati terhadap tindakan itu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata bantahan itu memperkukuh usaha kerajaan untuk melindungi kepentingan negara.

“Kami mengambil maklum ramai pekebun kecil tampil menyuarakan bantahan ke atas tindakan EU bagi mengharamkan biobahan api berasaskan sawit menerusi Arahan Tenaga Boleh Baharu (RED),” kata Mah dalam satu kenyataan hari ini.

Kerajaan Malaysia menyifatkan cadangan pengharaman itu sebagai usaha oleh Eropah untuk memperkenalkan ‘Aparteid Tanaman’ ke atas 650,000 pekebun kecil sawit Malaysia.

Malaysia akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi melindung kebajikan lebih 3.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung hidup kepada sektor kelapa sawit.-BERNAMA