Pengadil Tony Chapron. Foto talksport.com.

PARIS – Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengambil tindakan segera apabila menggantung tugas pengadil kontroversi Ligue 1, Tony Chapron sehingga dimaklumkan kemudian.

FFF dalam satu kenyataan berkata, Chapron telah menonton semula rakaman video perlawanan itu dan mengakui punca dia terjatuh adalah tidak disengajakan.

“Chapron telah meminta maaf dan berkata pemain Nantes, Diego Carlos melanggarnya.

“Ketika masa pertembungan itu, dia merasa kesakitan yang teruk kerana baru-baru ini mengalami kecederaan. Reaksinya adalah dengan menghulurkan kaki ke arah pemain,” jelas kenyataan itu yang dilaporkan oleh Daily Mail.

Chapron akan dipanggil untuk mengadap jawatankuasa disiplin Liga Perancis bagi mempertahankan dirinya.

Penggantungan itu bermakna Chapron digugurkan tugas daripada mengadili perlawanan Ligue 1, pada Rabu ini di antara Angers dan Troyes.

Semalam pengadil itu membuat tindakan mengejutkan apabila dia dilihat menendang Carlos ketika penghujung perlawanan membabitkan Paris Saint-Germain (PSG).

Semuanya berlaku selepas dia terjatuh gara-gara bertembung dalam satu insiden aneh.

Chapron kemudian melayangkan kad kuning kedua kepada kepada Carlos serta kad merah kepada pemain itu.

Rakaman video mengenai insiden berkenaan menjadi tular di seluruh dunia. – MalaysiaGazette