Pengurus sebuah syarikat swasta yang ditahan SPRM Johor di pejabat cawangan itu di Segamat, Johor.

JOHOR BAHRU – Seorang pengurus di sebuah syarikat swasta ditahan kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Cawangan Segamat pada tiga tahun lalu.

Suspek seorang lelaki berusia 37 tahun ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Cawangan Segamat kira-kira jam 3 petang hari ini bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.

Hasil siasatan yang dijalankan, suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM8,000 kepada AADK Segamat bagi kerja-kerja pembekalan untuk program AADK sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Dalam satu serbuan yang dibuat di pejabat suspek di Taman Utama Segamat, pasukan penyiasat SPRM menyita beberapa dokumen berkaitan kerja-kerja pembekalan tersebut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai rasuah atau RM 10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette.