Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Semua penjawat awam perlu memperteguhkan prinsip integriti dan menolak rasuah agar dapat menghasilkan perkhidmatan yang lebih profesional, progresif lagi dinamik.

Malah, sikap tegas menentang perbuatan salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan berlakunya ketirisan hasil negara perlu turut dititikberatkan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut beliau, pemantapan urus tadbir bukan sahaja melibatkan sistem, prosedur tetapi cara berfikir dan cara meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menjadikan pentadbiran dan pengurusan negara, telus serta berintegriti.

“Saya percaya dan yakin sekiranya ujian integriti ini diwajibkan dalam proses pengambilan kakitangan awam dan kemajuan kerjaya di sektor awam, kita akan melihat kualiti perkhidmatan dan integriti pengurusan kerajaan yang lebih telus dan berintegriti,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan diskusi intelektual bertemakan “Membina Negara Bangsa Integriti” di Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, bagi menjamin masa depan negara yang dicintai, membina negara bangsa berintegriti mesti menjadi keutamaan.

Katanya, ia turut meliputi sensitiviti setiap penganut agama terhadap agama lain serta budaya.

Tambah beliau, Islam perlu dijadikan panduan dalam seluruh aspek kehidupan umat Islam serta bukan bersifat ritual atau adat apatah lagi tradisi semata-mata.

“Saya percaya melalui instrumen-instrumen yang telah dibangunkan oleh INTEGRITI seperti Malaysian Integrity Profile dan Integrity Assessment Tool merupakan suatu mekanisme penilaian yang komprehensif dapat dilakukan atas usaha-usaha yang telah diambil oleh stiap isntitusi agama dan pendidikan di Malaysia,” ujarnya.

Beliau turut memberitahu, penghayatan dan amalan berterusan, nilai integriti menerusi dua komponen penting iaitu institusi agama dan pendidikan merupakan benteng terakhir dalam memastikan pembangunan negara bangsa yang berintegriti tinggi dapat direalisasikan. – MalaysiaGazette