SEGAMAT 12 JANUARI 2018. Anggota APM meninjau kejadian banjir yang berlaku di sekitar Segamat. NSTP/IHSAN APM JOHOR

KUALA LUMPUR – Jumlah mangsa banjir di Segamat, Johor semakin menurun dengan rekod terkini hanya 33 orang daripada lapan keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Kesihatan, Penerangan dan Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata sehingga jam 8 pagi hari ini semua mangsa berada di dua pusat pemindahan sementara (PPS).

“Sehingga kini, mangsa yang dipindahkan di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak itu membabitkan 12 lelaki dan 12 wanita, selain empat kanak-kanak serta satu bayi.

“Sementara itu, empat mangsa membabitkan masing-masing seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak ditempatkan di Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam,” katanya emnerusi kenyataan.

Ayub selain itu berkata, pemantauan berterusan akan dijalankan oleh agensi berkaitan dan pejabat daerah.

Dalam pada itu, di Pekan pula mangsa banjir masih kekal dengan jumlah 102 orang daripada 26 keluarga setakat 10 pagi ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff dipetik sebagai berkata, semua mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

“Seramai 93 mangsa daripada 24 keluarga ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Temai dan selebihnya di SK Aceh,” katanya.

Laman web infobanjir.water.gov.my hari ini pula menunjukkan hanya Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan sahaja yang masih menunjukkan bacaan tahap amaran atau jingga iaitu pada paras 10.05 meter. -MalaysiaGazette