Menteri Belia dan Sukan, Yb Khairy Jamaludin bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Digital Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) ke arah TN50 dengan sokongan Microsoft Malaysia di Ibu Pejabat Microsoft Malaysia, KLCC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyokong penuh saranan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar pasukan Selangor mencari venue lain untuk dijadikan venue tuan rumah pada saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Menterinya Khairy Jamaluddin berkata memang tepat kenyataan Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa hasrat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menjadikan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue tuan rumah adalah mustahil.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) sebelum ini menyarankan agar FAS terus menjadikan Stadium Selayang sebagai venue tuan rumah seperti musim lepas.

“Saya melihat kenyataan daripada presiden FAM sangat tepat kerana setakat hari ini kita dah terima banyak permintaan. Bukan sahaja daripada sukan bola sepak tetapi juga sukan lain seperti ragbi untuk menggunakan Stadium Nasional.

“Sekiranya Selangor main di Stadium Nasional ini bakal mengganggu jadual, bukan hanya jadual stadium tetapi juga jadual perlawanan Liga M serta proses baik pulih stadium akan mengambil masa,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Digitan ILKBS ke arah Transformasi TN50 dengan kerjasama Microsoft Malaysia, hari ini.- BERNAMA

Hasrat Selangor guna Stadium Nasional Bukit Jalil perkara mustahil