Presiden Angkasa, Dato Haji Abdul Fattah Abdullah bersama Dr Noor Zari Hamat menyampaikan anugerah kepada penerima anugerah di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. foto IMRAN FAKHRI, 19 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Jumlah perolehan koperasi yang meningkat sehingga RM39.66 bilion bagi tahun 2016 membuktikan mekanisma tersebut diterima masyarakat sebagai platform pembangunan ekonomi negara.

Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 18.2 peratus daripada RM33.56 bilion berbanding pada 2015.

Teks ucapan Hamzah yang dibacakan ucapannya oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr Noor Zari Hamat.

“Peningkatan angka-angka ini menunjukkan koperasi sudah diterima oleh masyarakat sebagai platform pembangunan ekonomi negara,” kata Noor Zari semasa Majlis Makan Malam Silaturahim Angkasa Wilayah Persekutuan 2018 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia malam ini.

Selain itu, peningkatan jumlah pendaftaran koperasi juga dicatatkan dengan SKM dimana sebanyak 13,648 buah koperasi baharu didaftar berbanding hanya 4,771 pada 2005 dan keanggotaan yang bertambah seramai 7.07 juta orang setakat Jun 2017 lalu.

Selain itu, modal syer dan yuran yang dikutip pula sebanyak RM13.99 bilion dan memiliki aset bernilai RM130.74 bilion.

Noor Zari juga menegaskan pihak KPDNKK menerusi SKM komited untuk membangun dan meningkatkan pencapaian koperasi ke tahap lebih tinggi dengan menyediakan pelbagai kemudahan dan program untuk menggalakkan pertumbuhan koperasi.

“Bagi memperkukuhkan pelan tindakan ke atas pencapaian sasaran perolehan RM50 bilion menjelang 2020, peneraju sektor dalam kalangan koperasi-koperasi telah diwujudkan.

“Sektor tersebut adalah dalam Perkhidmatan Kewangan, Pemborongan dan Peruncitan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Perladangan, Hartanah dan Industri Pembinaan serta dalam Pelancongan, Penjagaan Diri dan Kesihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette