Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

PUTRAJAYA – Penduduk di Putrajaya perlu mempertahankan pusat pentadbiran kerajaan persekutuan demi masa depan negara, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau yang juga anggota Parlimen Putrajaya berkata, “cakap-cakap” pelbagai pihak tidak akan mempengaruhi penduduk di Putrajaya yang sebahagian besarnya penjawat awam.

“Apa yang orang hendak cakap, cakaplah. Ada orang yang cakap sahaja, yang bunyi macam guruh. Guruh tidak semestinya hujan. Kerajaan yang ada sudah menjaga kepentingan rakyat selama 60 tahun. Jadi, jangan dengar guruh di langit, air di tempayan dibuang,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan Putrajaya sebagai simbolik bermulanya program sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 hari ini.

Jelas Tengku Adnan, lebih 35 program sudah disusun sepanjang Februari untuk warga Wilayah Persekutuan dengan pengisian berkonsepkan keceriaan dan kesejahteraan kepada rakyat selaras dengan tema “Wilayah Ceria Rakyat Sejahtera”.

Antara program yang akan berlangsung di Putrajaya ialah khutbah Jumaat khas sempena Hari Wilayah 2018 pada 26 Januari, Festival Catur Putrajaya (10 Februari), Kenduri 1Wilayah Persekutuan Putrajaya (11 Februari) dan World Robomaker Championship (28 Februari).

Pada majlis hari ini, Tengku Adnan turut melepaskan konvoi Kibar Bendera Wilayah Persekutuan yang melibatkan 22 pacuan empat roda dan 11 motosikal dengan 100 peserta yang menjelajah tujuh lokasi termasuk Medan Selera Kampung Baru dan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul untuk mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan sebelum berakhir di Pantai Dalam. – BERNAMA