Mahdzir Khalid

KUALA LUMPUR – Dakwaan mengatakan ugutan kepada guru-guru yang menyokong pembangkang akan diambil tindakan adalah tidak benar, jelas Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menteri Pendidikan itu menafikan mengeluarkan kenyataan berbau ugutan tersebut kepada golongan pendidik seperti yang didakwa oleh sebuah akhbar berbahasa Cina baru-baru ini.

“Saya tidak pernah mengugut atau meminta mereka meninggalkan kerjaya perguruan jika menyokong pembangkang,” beliau dipetik berkata hari ini.

Mahdzir menegaskan, guru-guru hanya tidak dibenarkan berada sepentas dalam program pembangkang kerana status mereka sebagai penjawat awam.

“Mereka tidak boleh berada di pentas sama dengan pemimpin pembangkang kerana tugas sebagai penjawat awam yang melaksanakan dasar kerajaan” ujarnya lagi.

Mengenai laporan media tersebut, Mahdzir berkata kenyataannya mungkin disalahtafsir dan menyifatkan ia tidak logik untuk kerajaan mengambil tindakan kerana undi adalah rahsia.

“Undi adalah rahsia, bagaimana boleh saya memberi amaran kepada mereka yang mengundi pembangkang?” katanya lagi.

Terdahulu, minggu lalu media melaporkan bahawa guru yang memegang jawatan dalam parti pembangkang perlu letak jawatan, laporan yang kemudian dipetik oleh beberapa portal berita. – MalaysiaGazette

Warga pendidik perlu berpada-pada dalam berpolitik

Comments are closed.