Keadaan jalan keluar masuk ke Taman Pongsu Melati, Alor Pongsu yang rosak akibat kontraktor lantikan TNB yang gagal menurap kembali jalan yang dikorek

BAGAN SERAI – Penduduk sekitar Alor Pongsu disini berang setelah kontraktor yang dilantik Tenaga Nasional Berhad (TNB) didakwa culas kerana gagal menyempurnakan jalan yang telah dikorek bagi tujuan pemasangan kabel elektrik bawah tanah.

Penduduk, Mohd Shahrol Md. Rasid, 35, yang tinggal di Taman Pongsu Melati mendakwa, jalan yang dikorek tidak ditimbus semula dengan sempurna oleh kontraktor berkenaan sehingga mengakibatkan jalan itu lecak apabila hujan.

Disebabkan itu, penduduk sekitar merungut kerana keadaan itu menyukarkan laluan keluar masuk ke taman berkenaan.

“Kontraktor yang dilantik TNB dibiarkan sahaja jalan masuk ke taman setelah dikorek sampai lecak dan menyusahkan penduduk untuk keluar ke jalan utama. Malah kalau musim hujan, jalan itu dipenuhi dengan tanah merah dan mengakibatkan jalan rosak.

“Sebelum ini jalan itu dilitupi dengan tar, dan selepas kerja-kerja pengorekan jalan oleh kontraktor itu, mereka gagal untuk berbuat demikian,” katanya kepada Malaysia Gazette hari ini.

Disebabkan itu juga, penduduk di Parit Simpang Empat dan Lima turut berdepan situasi sama ekoran kegagalan kontraktor lantikan TNB itu untuk menurap kembali jalan yang telah dikorek.

“Kontraktor sedang jalankan pengorekan jalan untuk memasang kabel bawah tanah bagi kegunaan rumah pam,” katanya lagi.

Berbeza dengan jalan masuk ke Taman Pongsu Melati, jelas Mohd Shahrol jalan di Taman Pongsu Mawar sudah diturap kembali oleh kontraktor berkenaan. -MalaysiaGazette.