Naib Presiden Pas, Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad yang baru setahun jagung menjadi pembangkang tidak perlu mengajar Pas bagaimana untuk menjadi pembangkang.

Sebaliknya, bekas perdana menteri selama 22 tahun itu perlu sedar bahawa Pas lebih senior menjadi pembangkang daripada partinya iaitu sejak 67 tahun lalu di negara ini, kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

“Kita akan buktikan Pas telah masak dalam pertarungan pilihan raya ini, sebab itu ada orang nak ajar Pas jadi pembangkang lawan UMNO, padahal dia tu sehari dua keluar dari UMNO.

“Nak belajar lawan BN kena belajar dari Pas. Betul? Ini baru nak belajar jadi pembangkang, dia nak ajar Pas menjadi pembangkang. Itu pasal dia keluar UMNO sebab tidak dapat dedak.

“Kita bertarung lebih 67 tahun. Pas berada di persada paling tinggi di negara ini, tidak lain dan bukan kerana dasar dan prinsip,” katanya ketika berucap di Himpunan Fastaqim 2.4 seperti dilapor sebuah laman portal hari ini.

Menurut laporan itu, Idris berkata, kemenangan pada pilihan raya umum tidak dapat menjamin pentadbiran negara akan selamat tanpa mendahulukan Islam.

Katanya, tiada guna memenangi undi orang Melayu, jika Islam kalah, sebaliknya rakyat perlu mengutamakan Islam seperti diperjuangkan Pas untuk menjamin semua kaum di negara ini selamat.

“Kita semua perlu berpadu tenaga dan ukhwah kita jaga untuk kemenangan kita.

“Yakin dan percaya bahawa dengan Islam akan beri keselamatan. Islam selamat, Melayu selamat, Cina selamat, India selamat, Kadazan selamat, Dayak selamat, semua selamat.

“Apabila Melayu selamat, belum tentu Islam dan juga Melayu selamat, bila Islam selamat, semua selamat,” katanya merujuk perjuangan Islam yang dibawakan Pas dalam mentadbir negara. – MalaysiaGazette