Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor diiringi Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan SkyWorld Development Group, Datuk Ng Thien Phing (tiga kanan) memotong riben sebagai gimik perasmian The SkyWorld Property Gallery di Setapak, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah dan Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berharap banyak lagi pemaju hartanah akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk membina rumah mampu milik.

Beliau berbangga wujudnya pemaju seperti SkyWorld menjadi penyumbang terbesar apabila menyediakan 3,389 Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip).

“Saya juga gembira untuk menyatakan bahawa SkyWorld adalah salah satu penyumbang terbesar kepada Rumawip di Kuala Lumpur. SkyWorld telah berjaya melancarkan 1,934 rumah mampu milik di bawah perkembangan SkyAwani 1 dan 2 dan akan mengumumkan satu lagi 1,905 rumah mampu milik SkyAwani pada masa akan datang.

“Saya harap akan banyak lagi pemaju yang maju ke depan dan bekerja secara langsung dengan kerajaan dalam membina rumah mampu milik yang berkualiti untuk rakyat. Kita mahu terus membantu rakyat mengurangkan kos kehidupan yang hidup ni ibu kota khususnya,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Pusat Kualiti Skyworld di Setapak sebentar tadi.

Bukan sahaja mampu menyediakan rumah mampu milik namun kata Tengku Adnan, pemaju juga perlu mencontohi SkyWorld yang masih mengekalkan kualiti binaan dan penerima anugerah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC).

“Saya sangat berbangga untuk berkongsi dengan anda bahawa rumah SkyAwani akan menjadi Rumawip pertama yang mematuhi piawaian QLASSIC dengan penilaian kualiti yang ditetapkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),” ujarnya.

Beliau turut gembira apabila 89.44 peratus iaitu 71,554 rumah mampu milik berjaya dibina menjelang Disember tahun lalu. -MalaysiaGazette