Syed Badli Syed Osman

KUALA LUMPUR – Sayap pemuda PKR Selangor membidas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai seorang yang ‘angkuh’ kerana mahu merampas kerajaan negeri Selangor dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tindakan Abdul Hadi itu dianggap sebagai satu pengkhianatan kepada kerajaan sedia ada yang dipimpin Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali walhal mereka sekarang ini sudah berada dalam kerajaan negeri dan bukan pembangkang, kata Setiausaha AMK Selangor, Syed Badli Syed Osman.

“Malangnya hari ini Presiden Pas menyebut tanpa selindung bahawa mereka ingin mengetuai pemerintahan kerajaan negeri Selangor selepas PRU14.

“Kenyataan ini seolah-olah menidakkan muafakat kerjasama antara PAS dan parti-parti komponen lain yang bergabung membentuk kerajaan di negeri Selangor sekian lama.

“Malah kenyataan ini juga ibarat mengkhianati kepercayaan yang telah diberikan kepada Pas untuk sama-sama memperkukuh pentadbiran kerajaan negeri,” katanya dalam kenyataan media.

Syed Badli berkata, kenyataan Abdul Hadi itu adalah cubaan untuk menghancurkan keharmonian kerajaan sedia ada yang sudah terbina sebelum ini.

“Ternyata kenyataan angkuh yang dizahirkan di hadapan ratusan penyokong Pas pada himpunan Fastaqim di Shah Alam, bertujuan untuk menghancurkan keharmonian kerajaan yang telah terbina,” katanya. – MalaysiaGazette