Ketua Sekeretariat Ummah, Tuan Haji Aminuddin Yahya bercakap pada sidang media Sekeretariat UMMAH mengenai penyerahan rasmi tuntutan UMMAH kepada Presiden Pas,, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Tujuh tuntutan yang dikemukakan oleh Gerakan Pembela Ummah (Ummah) semasa konvensyen minggu lalu mendapat sokongan Pas, kata Ketua Sekretariatnya, Aminuddin Yahya.

Ummah hari ini mengadakan pertemuan dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di ibu pejabat parti di Jalan Raja Laut untuk menghantar senarai tujuh tuntutan tersebut yang diketuai wakil NGO itu, Aminuddin.

“Beliau (Hadi) jelaskan memberi sambutan begitu baik kepada tuntutan yang bawakan ini, dalam masa terdekat satu kenyataan akan dikeluarkan oleh Tuan Guru Hadi bagi menyokong tuntutan yang kami serahkan kepada beliau hari ini,” kata Aminuddin semasa sidang media selepas menyerahkan memorandum, bagaimanapun wakil Pas tidak hadir dalam sidang media tersebut.

Menurut Aminuddin, Pas merupakan parti pertama yang memberikan respon kepada tuntutan Ummah dan ia akan disusuli dengan penyerahan tuntutan kepada beberapa parti lain yang berteraskan kaum Melayu dan Islam seperti UMNO, Berjasa, PKR, PPBM dan PAN.

“Kami berharap parti-parti bertanding akan memasukkan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan oleh Ummah dalam manifesto masing-masing semasa pilihan raya umum ke-14 nanti,” kata Timbalan Ketua Sekretariat, Kamaruzaman Mohamad dalam sidang media sama.

Semasa himpunan minggu lalu, lebih 300 NGO hadir pada program Konvensyen Kebangkitan Ummah bagi menyatakan hasrat dan pandangan terhadap senario yang berlaku kepada umat Islam dan Melayu.

Konvensyen membangkitkan tujuh teras kritikal iaitu undang-undang dan syariah, pendidikan, dakwah, ekonomi, sosial, tanah rezab dan hak Melayu serta belia dan anak muda. – MalaysiaGazette