Eden Hazard. Foto goal.com.
Eden Hazard. Foto goal.com.

LONDON – Pemain tengah Chelsea, Eden Hazard meluahkan rasa tidak puas hati apabila kelab itu merancang membeli penyerang baharu pada jendela perpindahan bulan ini.

Chelsea sebelum ini dikaitkan dengan pemain Roma, Edin Dzeko, 31,  Andy Carroll, 29, (West ham) dan pemain Stoke, Peter Crouch, 36.

Hazard, 27, berpendapat pasangan penyerang ketika ini, Alvaro Morata dan Michy Batshuayi masih terbaik dan pemain tinggi dilihat tidak sesuai dengan corak permainan kelab juara Liga Perdana itu.

“Saya gembira dengan pasukan ketika ini. Jika anda mahu menang, ia bergantung bagaimana anda mahu bermain.

“Kami memiliki dua penyerang yang iaitu Alvaro dan Michy. Jika mereka tidak boleh bermain, saya boleh bermain sebagai penyerang.

“Jadi saya tidak fikir kami perlu seorang lagi. Oleh kerana kami kehilangan peluang, ramai yang kata kami memerlukan penyerang lain.

“Namun jika kami menjaringkan gol, kami adalah serangan terbaik dalam liga dan tiada siapa akan kata kami memerlukan penyerang,” katanya kepada London Evening Standard.

Chelsea telah menjaringkan 45 gol liga musim ini iaitu sama dengan Arsenal tetapi jumlah itu masih kurang dengan enam pasukan teratas Liga Perdana.

Mereka kini dalam perbincangan lanjut dengan Roma mengenai perjanjian bernilai £44 juta untuk mendapatkan penyerang Bosnia, Dzeko dan pemain sayap kiri Emerson Palmieri.

Bagaimanapun, pemain dari Belgium ini yang menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-0 pasukannya ke atas Brighton pada Sabtu lalu berkata, kemasukan seorang pemain besar dapat memberi impak terhadap gaya permainan mereka.

“Siapakah pasukan terbaik tahun ini? Manchester City. Penyerang mereka, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero tidak pun tinggi,” tambah Hazard. – MalaysiaGazette