Home Ekonomi Kerajaan terus sokong syarikat tempatan jadi juara dunia

Kerajaan terus sokong syarikat tempatan jadi juara dunia

KUALA LUMPUR – Kerajaan ini akan terus menggalakkan dan memperjuangkan usaha syarikat-syarikat tempatan bagi membolehkannya menjadi pemain-pemain di peringkat serantau dan global.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, sokongan itu membolehkan mereka mewujudkan jenama Malaysia di pasaran antarabangsa.

Menurut beliau, Malaysia mempunyai senarai panjang bagi syarikat-syarikat utama yang berjaya di peringkat glonal termasuk Sime Darby Plantation yang merupakan pengeluar terbesar Minyak Sawit Mampan Diasingkan Yang Diiktiraf (CSPO) dan Top Glove pengeluar sarung getah terbesar  dunia.

AirAsia pula adalah syarikat penerbangan tambang kos rendah terbaik dunia.

“Selain itu terdapat banyak syarikat-syarikat Malaysia yang membanggakan dan nama-nama mereka juga begitu dekat dengan kita. Seperti Petronas, Khazanah, Maybank, CIMB Bank, Genting, SP Setia dan Kumpulan IOI – pemain-pemain serantau global yang memanfaatkan peluang terutama di rantau ASEAN dan dunia,” katanya.

Beliau berkata ketika menyampaikan ucaptama di Invest Malaysia hari ini.

Tambah Najib, konsortium Malaysia juga berjaya membangunkan semula projek Stesen Janakuasa Battersea di London.

Syarikat tempatan Malaysia seperti IHH Healthcare juga merupakan penyedia penjagaan kesihatan kedua terbesar di dunia serta Axiata yang memiliki rangkaian telekomunikasi bergerak terbesar dan terpantas di Sri Lanka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast