KUALA LUMPUR – Empat negeri di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) mencatat penyertaan sektor swasta yang lebih tinggi bernilai RM9.12 bilion selain mewujudkan 11,824 pekerjaan pada 2017.
Pelan pembangunan meliputi Perlis, Pulau Pinang, Kedah dan utara Perak itu mencatat penyertaan sektor swasta sebanyak RM8.3 bilion serta tambahan 12,376 pekerjaan pada 2016.
“Kita ternyata masih mampu mengurus dan membawa masuk pelaburan yang lebih tinggi pada 2017 berbanding tahun sebelumnya walaupun banyak menumpukan kepada aspek pertumbuhan,” kata Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Datuk Redza Rafiq.
Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai perkembangan NCER di sini, hari ini.
Agensi itu bagaimanapun meletakkan sasaran penyertaan sektor swasta lebih rendah pada 2018 sebanyak RM7.4 bilion dengan 7,379 pekerjaan diwujudkan.
Menurutnya bagi tahun ini, tumpuan diberikan kepada segmen pembuatan, perkhidmatan, pertanian dan bioindustri.
Bagi kemajuan masa depan pula, Redza berkata NCIA akan menumpukan usaha mempertingkatkan aspek infrastruktur bagi menyokong kesalinghubungan dan pertumbuhan untuk melonjakkan wilayah berkenaan ke tahap berikutnya.
NCIA turut menyasarkan untuk memberi keutamaan kepada kesalinghubungan dan logistik bagi menggalakkan pertumbuhan dan meningkatkan pembangunan untuk menghasilkan impak signifikan kepada penduduk wilayah itu.
“Kita mengakui bahawa infrastruktur kesalinghubungan dan logistik itu adalah teras bagi pertumbuhan ekonomi jangka panjang serta meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
“Justeru, kita menumpukan usaha memperkukuhkan kesalinghubungan pedalaman dan pedalaman-bandar serta dalam bandar dengan meningkatkan kemudahan jalan raya, perkhidmatan rel, lautan dan udara,” katanya.
Antara projek infra-rakyat di NCER termasuk perkhidmatan bas Rapid Sungai Petani dan Rapid Manjung serta Pelabuhan Darat Perlis dan pelabuhan darat dan kereta api di Zon Ekonomi Sempadan Khas Kota Perdana.
Konsep kesalinghubungan itu turut mendapat paparan utama di bawah Rangka Tindakan Pembangunan NCER 2016-2025 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas.
Mengulas pelaburan terkumpul bagi tempoh 2009 hingga akhir 2017, Redza berkata NCIA berjaya menarik pelaburan bernilai RM89 bilion dari sektor swasta serta mewujudkan 115,421 pekerjaan.
NCIA juga melepasi sasarannya dengan meningkatkan purata pendapatan peserta golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) kepada RM2,196.
Bagi proses perniagaan pula, NCIA telah mencapai 84 peratus berbanding sasaran antara 64-70 peratus.
Menurutnya, kedua-dua Kadar Kepuasan dan Pengekalan Pekerja juga melepasi sasaran apabila masing-masing mencapai 3.8 peratus dan 92 peratus yang menunjukkan para pekerja NCIA berada di landasan tepat serta terbuka kepada transformasi.
— BERNAMA