Keadaan kenderaan pemandu Grab, Perodua Alza dipandu lelaki berusia 49 tahun dan penumpang wanita 21 tahun masing-masing cedera di kepala dan kaki selepas kereta dinaiki merempuh sebuah Perodua Myvi yang terbabas dari arah bertentangan di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya malam tadi.

MELAKA – Seorang pemandu Grab dan penumpangnya nyaris maut selepas merempuh sebuah Perodua Myvi yang terbabas memasuki laluannya di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka Raya di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, Perodua Alza dipandu lelaki berusia 49 tahun dan penumpang wanita 21 tahun masing-masing cedera di kepala dan kaki sebelum dikejarkan ke Zon Kuning Hospital Melaka untuk menerima rawatan lanjut.

Christopher Patit

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 35 tahun yang tidak mempunyai lesen memandu itu cedera parah dan dirawat di Zon Merah hospital sama.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian Perodua Alza berkenaan dalam perjalanan dari pusat beli belah Mahkota Parade menghala ke arah Banda Hilir membawa penumpang Grab yang bekerja di pusat beli belah sama.

“Sebaik tiba di lokasi dipercayai Perodua Myvi dari arah bertentangan terbabas ke kanan memasuki laluan bertentangan menyebabkan pelanggaran di arah hadapan Alza mengenai sebelah sisi kiri Myvi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kemalangan menyebabkan ketiga-tiga mangsa cedera dan dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Keadaan Perodua Myvi dari arah bertentangan terbabas ke kanan memasuki laluan bertentangan menyebabkan berlaku pelanggaran di arah hadapan Alza mengenai sebelah sisi kiri Myvi

“Setakat ini pegawai penyiasat tidak dapat mengambil keterangan lisan pemandu Myvi yang bekerja di pusat beli belah Mahkota Parade kerana keadaannya masih tidak stabil dan ditempatkan di Zon Merah.

“Pemandu dan penumpang Grab berkenaan telah memberikan keterangan secara lisan namun tidak pasti bagaimana kemalangan itu berlaku,” tambahnya.

Christopher berkata, siasatan akan diteruskan untuk mendapatkan rakaman sistem kamera litar tertutup di tempat kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast