MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka mahu projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Jernih dan Loji Rawatan Air (LRA) baharu di Ayer Limau, Masjid Tanah disiapkan secepat mungkin bagi menjamin keperluan bekalan air di kawasan utara negeri ini.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, projek berkenaan merupakan antara pembangunan infrastruktur utama yang diberi perhatian kerajaan negeri bagi memastikan bekalan air mencukupi untuk keperluan rakyat.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan supaya ia dapat disiapkan sebagaimana dirancang dan manfaatnya dinikmati penduduk secepat mungkin.
“Kita akan memastikan bahawa projek TAPS Sungai Jernih yang akan memberikan bekalan air di seluruh kawasan Masjid Tanah dan Melaka utara ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Padang Awam Taman Datuk Setia, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.
Menurut Ab Rauf, pembangunan TAPS Jernih akan disusuli pembinaan Loji Rawatan Air baharu sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan negeri memperkukuh jaminan bekalan air untuk keperluan masa hadapan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan.
TAPS Jernih yang mula dibina pada Jun 2022 sebelum ini berdepan kelewatan akibat beberapa masalah teknikal.
Projek berkenaan melibatkan pembinaan stesen muka sauk di Sungai Rembau serta saluran paip air mentah sepanjang 5.2 kilometer ke TAPS Jernih.
Takungan berkapasiti 14,000 juta liter itu akan menyimpan air mentah dari Sungai Rembau bagi memperkukuh sumber bekalan air terutama untuk penduduk Masjid Tanah dan kawasan utara Melaka. – MalaysiaGazette
















