Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bersalaman dengan salah seorang peserta Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Finas, Kompleks Studio Merdeka, Jalan Hulu Kelang, Ampang, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 25 JANUARI 2018.

HULU KELANG – Dalang kempen undi rosak hanya datang daripada kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH) yang melihat gabungan itu semakin tidak meyakinkan, kata Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata demikian sebagai membidas Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa pihak yang memboikot Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) adalah ‘puak’ UMNO-BN.

“Kebanyakan yang rasa tak nak keluar undi bukan menyokong BN, penyokong BN masih mahu BN menjadi kerajaan jadi mereka akan keluar.

“Yang tak akan keluar ini adalah mereka yang meyokong pembangkang tapi delusi sebab pembangkang sudah caca marba sekarang ini, sebab itu ada kempen jangan keluar dan boikot,” katanya kepada pemberita selesai Wacana Ekonomi bersama Industri Muzik dan Kreatif Malaysia di Perbadanan Filem Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Abdul Rahman berpendapat semua rakyat sepatutnya menggunakan hak mereka untuk memilih kerajaan yang dirasakan layak menerusi sistem demokrasi walaupun tiada paksaan untuk melakukannya.

“Kita nak mereka (rakyat) keluar (mengundi) kita nak mempraktikkan mengundi dan gunakan hak menentukan kerajaan tapi kalau tidak mahu mengundi itu jugak adalah hak.

“Saya tidak suka begitu, saya mahu mereka keluar dan undi BN tapi kalau tak mahu mengundi saya tidak boleh heret mereka keluar pagi untuk mengundi. Kita ada undi ini gunakanlah,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette