KUALA LUMPUR – Kelab Johor Darul Ta’azim (JDT) menghantar dua pemain mudanya,  Syamer Kutty Abba dan Dominic Tan untuk berkelana bersama kelab Portugal, Vilaverdense F.C selama setahun.

Syamer dan Dominic merupakan  skuad kebangsaan Bawah 23 (B-23) negara yang layak ke suku akhir Kejohanan Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 baru-baru ini.

Berita tersebut disahkan oleh JDT menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi kelab tersebut, Johor Southern Tigers.

Kedua-dua pemain tersebut akan bertolak ke Portugal hari ini.

“Sebagai kelab yang memiliki kontrak asal kedua-dua pemain, JDT turut mengharapkan kedua-dua pemain mampu menimba seberapa banyak pengalaman di Portugal sebelum mereka kembali menyertai JDT dan skuad negara pada masa hadapan,” jelas kenyataan itu.

Syamer merupakan pemain kelahiran Pulau Pinang dan antara pemain daripada projek Harimau Muda yang pernah bermain di Liga Slovakia.

Selepas Harimau Muda dibubarkan, Syamer kembali ke negeri asalnya untuk menguatkan skuad Piala Presiden Pulau Pinang sebelum dipanggil untuk menguatkan skuad utama Harimau Kumbang sejak dua musim yang lalu.

Dia bagaimanapun dilamar oleh JDT selepas aksi cemerlang bersama skuad B-23 negara di Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur tahun lalu.

Dominic pula merupakan rakan sepasukan Syamer ketika kedua-duanya bersama skuad Harimau Muda.

Setelah pembubaran skuad berkenaan, Dominic menyertai JDT II sebelum dipanggil menyertai skuad utama JDT pada musim lalu. – MalaysiaGazette