Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) bersama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (dua kanan) menyaksikan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun (kiri) menukar Nota Perjanjian Persefahaman dengan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim (kanan) pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Maktab PDRM, Cheras. foto FAREEZ FADZIL, 26 JANUARI 2018

KUALA LUMPUR – Kerjasama pintar antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam siasatan kebakaran mampu memberikan impak yang tinggi dari segi mengurangkan jangka masa siasatan.

Malah, menerusi kolaborasi itu ia juga boleh mengelak daripada berlakunya pertindihan tugas yang dilakukan kedua-dua agensi,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata.

Menurut beliau, dengan adanya kerjasama itu juga secara tidak langsung dapat memecahkan kerja bersifat ‘silo’ oleh kedua-dua agensi berkenaan yang selama ini sering berlaku kelewatan dalam menyelesaikan kes kebakaran.

“Sebanyak 3,901 kertas siasatan kes kebakaran dibuka PDRM sejak tiga tahun lepas namun, 477 kes tertangguh dan belum selesai.

“Ketika itu, bomba bergantung kepada PDRM, PDRM bergantung kepada bomba. Mudah-mudahan dengan kerjasama ini, ia (siasatan kes kebakaran) dapat dimuktamadkan segera.

“Siasatan konklusif dapat dilakukan, masing-masing (PDRM dan JBPM) tidak lagi boleh main tarik tali siapa lebih berkuasa dan siapa yang ada bidang kuasa yang lebih dalam soal ini,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Menandatangani Nota Kerjasama di antara PDRM dan JBPM dalam siasatan kebakaran di Maktab PDRM di sini hari ini.

Bercakap mengenai perkara itu, Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau kementerian, jabatan dan agensi lain mencontohi kedua pasukan itu dalam melaksanakan kerjasama pintar ke arah memberi khidmat lebih baik kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau mahu agar hanya seorang jurucakap mewakili agensi-agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana ditugaskan memberi kenyataan media bagi mengelak kekeliruan maklumat kepada orang ramai.

Ini kerana katanya, terlalu banyak kenyataan yang bercanggah dikeluarkan oleh jabatan-jabatan berkenaan sebelum ini hingga akhirnya telah menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat umum.

Beliau turut menasihatkan agar sebarang maklumat yang diketahui hasilnya agar dirahsiakan terlebih dahulu sebelum boleh didedahkan kepada umum.

“Ini supaya kenyataan selaras dan rakyat tidak keliru,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang diiringi Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar menyaksikan nota kerjasama itu yang ditandatangani Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Wan Mohd Nor Ibrahim di Maktab PDRM di sini.

Setelah menyaksikan majlis menandatangani nota kerjasama itu, Ahmad Zahid menyempurnakan majlis pelancaran PDRM Night Run 2018 pada 17 Mac ini di Dataran Merdeka sempena Hari Polis ke-211. – MalaysiaGazette