BAGAN DATUK, 27 Jan -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama sebahagian penerima Bantuan Awal Persekolahan 1Malaysia (BAP1M) selepas beliau menyampaikan bantuan tersebut dan merasmikan Balai Utama SMK Hutan Melintang hari ini. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
BAGAN DATUK – Malaysia sedia menjadi tuan rumah persidangan antarabangsa deradikalisasi dalam menangani ekstremisme dan keganasan yang berlaku di seluruh dunia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihaknya menghargai cadangan Perdana Menteri India Narendra Modi itu yang mahu Malaysia berkongsi pendekatan dan kaedah diguna pakai khususnya kejayaan program dan proses deradikalisasi atau pemulihan terhadap pengganas dan golongan ekstremis.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya menerusi Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Penjara sedia memberi kerjasama dengan berkongsi pengalaman serta manual deradikalisasi.

“Saya berasa dihargai dengan pengiktirafan berkenaan, pastinya kita komited untuk memenuhi permintaan daripada perdana menteri berkenaan dan penghargaan ini bukan hanya sekadar nota diplomatik tetapi diberikan secara rasmi kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak).

“Sewaktu saya bertemu dengan Modi, saya telah menyerahkan manual deradikalisasi kepada beliau dan ini memperlihatkan keprihatinannya kepada kejayaan deradikalisasi yang dilakukan di Malaysia secara praktikal dan imperikal,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Dewan Terbuka Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang dan penyampaian bantuan awal persekolahan di sekolah berkenaan, dekat sini, hari ini.

Dalam perbincangan antara Najib dengan Modi di Hyderabad, New Delhi semalam, perdana menteri India itu menyatakan hasrat agar persidangan antarabangsa mengenai deradikalisasi diadakan dalam tempoh terdekat dengan Malaysia dan India menjadi tuan rumah bersama.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata PDRM dengan agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini telah melakukan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk proses deradikalisasi berdasarkan pengalaman ketika zaman darurat.

“Kejayaan pemulihan deradikalisasi adalah sebanyak 97.5 peratus dan pencapaian itu merupakan satu kajian berdasarkan kepada fakta dan ia merupakan pencapaian yang diiktiraf oleh dunia, ” katanya.- BERNAMA