Penyelaras Persidangan Meja Bulat MyAQSA, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri (tengah) bergambar bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Haji Zulkifli (kiri), Ketua Kesatuan Ulama Islam Lubnan, Sheikh Ahmad Al Omari (dua kiri), Pengerus Majis Islam Syria, Syeikh Usamah al-Rifa'i (kanan) dan Pengerusi Pusat Pembentukan Ulama Mauritania, Syeikh Muhammad Hasan Walid ad-Dedew pada Persidangan Meja Buat Ulama Islam Sedunia Mengenai Resolusi Baitulmaqdis di Hotel Pullman Lakeside, Putrajaya. foto IMRAN FAKHRI, 28 JANUARI 2018.

PUTRAJAYA – Kerajaan disaran agar memasukkan silibus dalam pendidikan di sekolah-sekolah mengenai kekejaman regim zionis terhadap umat Islam di Palestin sebagai langkah memberi kesedaran dalam kehidupan segenap masyarakat.

Penyelaras Persidangan Meja Bulat MyAqsa, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, perkara itu wajar dilakukan sebagai memperlihat kepada umum berkenaan sebuah negara yang dizalimi oleh Yahudi yang dibantu oleh dunia.

Disebabkan itu kata beliau, kesedaran terhadap perkara itu perlu diketengahkan melalui pendidikan.

“Isu Palestin adalah berkaitan akidah umat Islam dan isu ini perlu dimasukkan dalam silibus pendidikan.

“Hanya kerajaan yang boleh melakukan perkara ini ke dalam silibus pendidikan itu sama ada di peringkat universiti, menengah atau diperingkat rendah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Persidangan Meja Bulat Ulama Islam Sedunia Mengenai Baitulmuqaddis di sini hari ini.

Mengulas mengenai persidangan itu, Khairuddin berkata, tekanan sering dilakukan oleh umat Islam di seluruh dunia agar Yahudi menghentikan sebarang bentuk keganasan terhadap rakyat Palestin di Baitulmaqdis.

Katanya, peranan itu boleh dimainkan oleh ahli-ahli Parlimen di negara-negara Islam yang mana mereka boleh menyuarakannya kepada pemimpin negara masing-masing.

Pada persidangan yang berlangsung selama dua hari bermula semalam, sebanyak 12 perkara dicapai hari ini menerusi resolusi yang akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum dikemukakan kepada pemimpin-pemimpin negara Islam di seluruh dunia.

Antara yang terkandung dalam resolusi itu ialah mendesak agar negara-negara Islam di dunia memutuskan sebarang bentuk hubungan sama ada politik, perniagaan dan pendidikan dengan Yahudi.

Resolusi itu diserahkan melalui Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai wakil perdana menteri ekoran Najib kini sedang melakukan lawatan kerja di Kelantan. – MalaysiaGazette