KUALA LUMPUR – Bukan sahaja rugi wang puluhan ribu ringgit namun seorang wanita mangsa ‘scammer’ hidup dalam ketakutan kerana diugut dengan video bogelnya.

Pembantu kerani berasal dari Taman Meru Jaya, Ipoh yang mahu dikenali sebagai Amy, 24, berkata, dia berkenalan dengan seorang lelaki yang mendakwa berusia 35 tahun di laman sosial Wechat pada September tahun lalu.

Katanya, pada awalnya, mereka hanya berbual menggunakan aplikasi berkenaan sebelum menjadi semakin rapat hingga berhubung melalui telefon dan juga WhatsApp.

Mangsa ‘Love scammer’

“Lelaki berkenaan mendakwa berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan bekerja sebagai jurutera sivil serta mempunyai ibu yang sakit hepatitis B dan sakit buah pinggang.

“Hubungan kami menjadi semakin rapat selepas tiga bulan berkenalan di alam maya dan pada November lalu, lelaki itu mengatakan dompetnya hilang serta ingin meminjam wang termasuk kononnya untuk rawatan ibunya.

“Saya kemudian beberapa kali memasukkan wang yang kesemuanya berjumlah kira-kira RM24,000 ke dalam akaun bank milik seorang wanita tempatan yang diberikan lelaki berkenaan,” katanya dipetik sebagai berkata ketika sidang media yang berlangsung hari ini.

Amy berkata, selama kira-kira lima bulan berkenalan dia hanya berbual dalam laman sosial dan melalui telefon serta membuat panggilan video.

“Ketika membuat panggilan video, paparan skrin lelaki terbabit hanya gelap dan saya tidak sangka boleh diperdaya sebegini.

“Saya menyesal dan kini bimbang gambar atau video saya akan tersebar serta harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera berhubung kes ini,” tambahnya yang mengakui terpedaya dalam tipu daya ‘Love scam’.

Amy berkata, lelaki berkenaan turut berjanji ingin membuat pelaburan di Malaysia dan akan membeli rumah atas namanya.

Namun wanita itu terlebih dahulu telah memberikan sejumlah wang kepada lelaki tersebut yang memerlukan wang atas masalah mendapatkan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Pada 18 Januari lalu, lelaki terbabit menghantar mesej mengatakan ditahan pihak Imigresen di Lapangan Terbang KLIA dan memerlukan RM3,500 untuk dibebaskan sebelum meminta lagi RM11,500 kononnya untuk membayar denda bagasi yang dibawa serta cukai.

“Saya kemudian memasukkan wang sebanyak RM15,000 yang dipinjam daripada seorang rakan ke dalam dua akaun bank milik wanita tempatan diberikan lelaki terbabit sebelum bergegas ke KLIA.

“Saya mengatakan tiada lagi duit, namun lelaki itu mengugut ingin menyebarkan gambar bogel saya.

“Sepanjang berkenalan di alam maya dengan lelaki itu saya ada menghantar dua gambar dalam keadaan tidak berpakaian kepadanya selain turut membuat panggilan video ketika berada dalam keadaan sama,” ujarnya.

Amy juga memaklumkan telah membuat dua laporan polis pada 13 dan 22 Januari lalu termasuklah aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada 15 Januari lalu. – MalaysiaGazette