Majlis resepsi perkahwinan Yuna dan Yousug berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya malam tadi.

KUALA LUMPUR – Seperti dijanjikan bakal berlaku kejutan pada majlis resepsi perkahwinan Yuna malam tadi, bapanya Datuk Indera Mat Zara’ai Alias muncul membuat persembahan istimewa apabia menyanyikan dua lagu buat anaknya.

Berlangsung di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Mat Zara’ai menyampaikan lagu Corazon Espinado yang dipopularkan Santana dan Perfect oleh Ed Sheeran sambil memetik gitar.

Pada majlis resepsi yang bertemakan tradisional itu, Yuna anggun mengenakan busana pengantin Perak rona putih gading rekaan Hatta Dolmat.

Seramai 1,500 tetamu hadir memeriahkan majlis itu dengan diketuai tetamu Diraja, keluarga terdekat, kenalan mempelai, rakan selebriti, termasuk bekas peserta The Voice 2012, Dez Duron dan penyanyi serta pelakon terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari.

Jumaat lalu, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara’ai, 31, sah menjadi isteri kepada pengarah video, Adam Yousof Sinclair, 33, yang juga adik pelakon, Ashraf Sinclair, di Puncak Rimba, Bukit Tinggi, Bentong.

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Crush itu berkenalan dengan suaminya ketika menjayakan projek iklan pada awal 2013.

Hubungan mereka mulai rapat pada 2015 dan keluarga Adam merisik Yuna pada 27 Mac lalu sebelum bertunang pada 5 Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette