Presiden Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor bergambar kenangan dengan Ketua Pergerakan Puteri BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan perwakilan Puteri BN yang hadir pada Majlis Pelancaran Azalea 2018: Sahabat Puteri BN di Panggung Anniversari, Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 20 JANUARI 2018.

KUALA LUMPUR – Pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu mencari formula baharu dalam menangani masalah Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung bagi memudahkan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Parti Islam SeMalaysia (Pas) antara parti pembangkang yang terawal menawarkan penyelesaian kepada kemelut itu menerusi pembentukan kerajaan campuran.

Meskipun masih tiada perbincangan ke arah itu, namun berdasarkan kekuatan parti Islam itu daripada segi menggerakkan jenteranya di seluruh negara, Pas tiada masalah untuk memenangi 40 kerusi Parlimen.

Berdasarkan keputusan PRU13 lalu, Pas yang bertanding di 65 kerusi Parlimen berjaya merebut 21 kawasan daripadanya dan enam kerusi itu kini disandang oleh ahli parlimen dari Parti Amanah Negara (PAN).

Meskipun Presiden BN, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai formula tersendiri termasuk memperkukuhkan kerjasama dan persefahaman di antara parti komponen, namun ia hanya terbukit selepas PRU14 nanti.

BN perlu melihat kepada situasi yang dihadapi oleh BN Terengganu yang berdepan kemelut yang mana mereka menang dan membentuk kerajaan negeri dengan bersandarkan kepada majoriti mudah.

Pada PRU13, BN hanya menguasai 17 daripada 32 kerusi DUN Terengganu manakala pakatan pembangkang memenangi 15 kerusi menerusi Pas-14 dan PKR-1.

Kerajaan Negeri Terangganu boleh bertukar sekelip mata sekiranya ‘tiga ADUN’ yang sebelum ini berpaling tadah dan menjadi wakil rakyat bebas tidak kembali menyokong kepimpinan BN.

Insiden lompat parti yang dilakukan ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said dan dua lagi ADUN BN Terengganu iaitu ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud perlu menjadi iktibar meskipun mereka kembali menyokong BN.

Masalah lompat parti bukan perkara baharu dalam politik tanahair, lebih-lebih lagi apabila sesuatu kerajaan yang dibentuk itu berdepan masalah DUN tergantung atau majoriti mudah.

Mungkin kepimpinan BN juga perlu mengkaji semula Perlembagaan parti komponen masing-masing untuk mengekang masalah lompat parti dengan mengambil pendekatan yang diguna pakai Pas melalui baiah.

BN tidak memerlukan baiah Pas, namun kepimpinan perlu memikirkan formula lebih baik untuk mengatasi masalah wakil rakyat mereka yang berpaling tadah selepas proses pilihan raya berakhir.

Sebagai langkah ke hadapan, BN Terengganu mempunyai perancangan rapi untuk mengelakkan masalah DUN tergantung berulang selepas PRU14.

Salah satunya ialah memperkenalkan Gempur Tawan 4P (Parlimen), di mana Pengerusi BN Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mahu merampas empat kerusi Parlimen yang belum dimenangi mereka sebelum ini.

Antara empat Parlimen berkenaan ialah Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun dan Marang yang kini disandang oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tidak mustahil BN Terengganu juga mampu mengulangi prestasi cemerlangnya pada 1999 menerusi gelombang biru yang digerakkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh.

Gelombang biru di negeri pantai timur itu mampu mengembalikan penguasaan BN dua pertiga majoriti dari hanya 4 kerusi DUN kepada 28 kerusi dalam PRU11 pada 2004. – MalaysiaGazette.