Rajesh Maru

MUMBAI – Seorang lelaki maut selepas dia disedut ke mesin Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di sebuah hospital di Mumbai.

Rajesh Maru, 32, membawa sebuah silinder oksigen apabila dia mengiringi seorang saudaranya ke bilik MRI di Hospital Kebajikan BYL Nair Charitable

Sebaik sahaja dia masuk ke dalam bilik itu, tarikan magnet MRI yang kuat itu menyedutnya.

Tangan Maru bagai ‘dipaku’ di antara mesin MRI dan silinder, menyukarkan beliau melepaskan diri.

Pesakit yang diiringi mangsa menjerit meminta bantuan, beberapa lelaki bergegas masuk dan berjaya menariknya keluar.

Maru yang mengalami pendarahan dikejarkan ke wad kecemasan sebelum disahkan meninggal dunia.

Dalam laporan NDTV, saudara Maru, Harish Solanki berkata, seorang kakitangan yang berdiri di luar bilik memberitahunya tidak mengapa untuk membawa silinder oksigen masuk ke bilik MRI itu.

“Ketika kami memberitahunya bahawa benda-benda logam tidak dibenarkan masuk ke dalam bilik MRI, dia berkata tidak mengapa kerana kami melakukannya setiap hari. Kakitangan itu juga mengatakan bahawa mesin itu telah dimatikan, doktor dan juruteknik tidak mengatakan apa-apa.

“Sebaik sahaja Maru masuk dengan silinder itu, mesin MRI itu berfungsi. Maru disedut dan tangannya terpaku di sana. Badannya terperangkap dan dia tidak dapat bercakap. Disebabkan kelalaian, Maru mati, ” kata Solanki.

Tiga kakitangan hospital termasuk seorang doktor, atendan dan pekerja wad ditahan untuk siasatan kecuaian, menurut laporan media. – MalaysiaGazette