Foto Facebook Pahang FA.

KUALA LUMPUR – Pahang meletakkan sasaran untuk muncul juara Liga Super 2018 pada musim ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, sasaran itu realistik kerana Pahang sudah berbelanja sekitar RM20 juta sama seperti musim lalu

“Sudah semestinya kita mahu muncul sebagai Juara Liga Super dan Juara Piala Malaysia. Namun, paling tidak, kita mahu menjulang satu piala.

“Saya percaya misi kali ini boleh dilaksanakan kerana Pahang memiliki kualiti skuad yang baik dari segi pengurusan serta adunan pemain tempatan dan import yang memiliki kemahiran serta semangat juang tinggi,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengenalan jersi baru Pahang bertempat di Dewan Tun Razak, Pahang semalam.

Pahang turut memperkenalkan empat pemain import mereka bagi mengharungi musim 2018 iaitu Sergio Ezequil Unrein, Alex De Moraes Gomes, Chan Vathanaka, dan Muhammad Safuwan Baharudin.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh pula menjangkakan musim 2018 akan lebih sengit dan mengharapkan anak buahnya akan menjadi pesaing utama Liga Super kali ini.

Musim lalu Pahang menamatkan saingan liga di tangga kedua iaitu sembilan mata daripada juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pahang juga menjadi naib juara Piala FA 2017. – MalaysiaGazette