KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan wujudnya perbincangan di antara Pakatan Harapan dengan Pas di peringkat Selangor.

Beliau sebaliknya berkata, bukan sahaja rundingan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu sahaja yang belum dimuktamadkan malah di seluruh negara.

“”Itu pandangan. Saya harap kenyataan yang nak dibuat, itu biarlah berdasarkan fakta. Sebenarnya proses perbincangan agihan kerusi ni dah berjalan lama dah dengan Pakatan Harapan di Selangor.

“Kalau kita tak ada perbincangan, mana mungkin kita tahu di mana mereka berminat untuk bertanding. Cuma prosesnya masih berjalan. Seluruh negara belum selesai proses rundingan kerusi DUN,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Himpunan Bulanan Kerajaan Negeri Selangor pagi tadi.

Menteri Besar Selangor itu turut mengakui rundingan kerusi di Selangor sesama parti komponen gabungan pembangkang itu sukar akibat pelbagai aspek yang perlu dipertimbangkan.

“Faktor kebolehmenangan itu lebih penting daripada faktor menetapkan tempoh tertentu. Kalau kita boleh selesaikan 90 peratus daripada pertindihan, itu satu kejayaan yang baik untuk PH.

“Ada satu dua lagi kerusi yang masih berbincang, itu perkara biasa dalam perjuangan politik. Kerana akhirnya kita mahu siapa jugak yang mewakili kawasan tersebut, bagi pihak PH, mesti menang.

“Maka untuk menang, kita ada faktor-faktor bukan saja kerusi tapi faktor penerimaan pengundi di kawasan itu, bagaimana sokongan rakyat di kawasan itu. Apakah isu di kawasan itu.. Jadi sudah tentu prosesnya agak rumit tetapi saya melihat perbincangan itu berjalan dengan cukup positif untuk menentukan kemenangan,” jelasnya. – MalaysiaGazette