Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah

SANDAKAN – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di kawasan timur Sabah dengan penahanan 13 orang termasuk dua ejen.

Ketua Pengarah JPN, Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata tangkapan dilakukan menerusi dua serbuan berasingan di Tawau pada Jumaat lepas dan di daerah ini awal pagi tadi.

Katanya, di Tawau tangkapan membabitkan 10 wanita dan seorang lelaki yang merupakan ejen kepada sindiket itu.

Menurutnya, tangkapan terbaharu membabitkan seorang lelaki dan seorang ejen wanita berusia 52 tahun dalam serbuan di sebuah kediaman di Kawasan Perindustrian Sedco Batu 2 1/2 Sandakan pada jam 2 pagi hari ini.

Beberapa dokumen pengenalan diri palsu antaranya sijil lahir dan kad pengenalan dirampas dalam serbuan tersebut, katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohammad Razin berkata, dua ejen termasuk seorang lelaki berusia 52 tahun yang ditahan di Tawau adalah rakyat tempatan, manakala 11 lagi adalah warganegara Filipina dan Indonesia.

Menurutnya, siasatan awal mendapati sindiket tersebut mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM6,000 untuk sijil lahir dan kad pengenalan palsu bagi Pendatang Asing Tanpa Izin warganegara Filipina dan Indonesia.

Beliau berkata, bagi modus operandi sindiket di Tawau, ia juga membabitkan membeli sijil lahir asli kanak-kanak yang sudah meninggal dunia di daerah Semporna, Kunak dan Lahad Datu tetapi tidak didaftarkan kematian di JPN.

Katanya, ejen itu akan membeli dokumen itu dari dari ibu bapa atau keluarga terdekat dengan harga RM2,000 dan kemudian menjualnya kepada warganegara Pakistan dengan harga mencecah RM20,000.

Mohammad Razin berkata, bagi tangkapan di Tawau, empat daripada mereka termasuk ejen telah didakwa dan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Majistret Lahad Datu pada Isnin lepas dan di Mahkamah Majistret Tawau, semalam.

Menurutnya, penahanan ejen dan pengguna dokumen pengenalan diri palsu itu membabitkan risikan yang dijalankan selama sebulan hingga dua bulan dengan kerjasama agensi penguatkuasaan yang lain berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Beliau berkata, JPN masih melakukan siasatan lanjut bagi memastikan jaringan sindiket pemalsuan sijil lahir dan kad pengenalan yang bergiat aktif di negeri ini dapat dibendung. – MalaysiaGazette