Datuk Seri Anifah Aman

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang membuat tuntutan ke atas Sabah akan hanya mendedahkan tentang kejahilan terhadap sejarah dan undang-undang antarabangsa, tegas Datuk Seri Anifah Aman.

“Kerajaan Malaysia mengulangi semula kedudukannya bahawa Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak akan melayan apa-apa tuntutan oleh mana-mana pihak di Sabah,” kata Menteri Luar Negeri dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Beliau membuat kenyataan demikian sebagai tindak balas terhadap tuntutanSabah yang dibuat oleh Aquilino Pimentel Jr, ahli Jawatankuasa Perundingan Filipina, semalam.

Tambah Anifah, kenyataan Pimental itu berpotensi untuk menjejaskan hubungan dua hala yang dinikmati antara Malaysia dan Filipina sekarang.

Pimentel yang baru dilantik untuk mengkaji perlembagaan Filipina telah mencadangkan kemasukan Sabah di wilayah Filipina sebagai sebahagian daripada peralihan negara kepada sistem Kerajaan Persekutuan negara tersebut.

Katanya, tentu ada cara yang boleh diterima di bawah undang-undang antarabangsa untuk menuntut Sabah.

Di bawah cadangan Pimentel untuk Kerajaan Persekutuan baru, seperti yang dilaporkan oleh ANC, Filipina akan dibahagikan kepada 12 negeri persekutuan iaitu, Luzon Utara, Luzon Tengah, Luzon Selatan, Bicol, Visayas Timur, Visayas Tengah, Visayas Barat, Minparom, Mindanao Utara, Selatan Mindanao, dan Bangsamoro.

Metro Manila akan menjadi ibu negara persekutuan manakala Sabah pula boleh menjadi negeri persekutuan ke-13, menurut Pimentel. – MalaysiaGazette