Husam Musa
Datuk Husam Musa

KUALA LUMPUR – Dakwaan Pas mengatakan Parti Amanah Negara (PAN) berpakat dengan UMNO adalah sesuatu yang pelik, kata Penasihat PAN Kelantan, Datuk Husam Musa.

Husam menafikan dakwaan tersebut, sebaliknya mempersoalkan tindakan Pas yang lebih banyak berjumpa dengan pemimpin UMNO adalah jelas memperlihatkan siapa sebenarnya yang mempunyai kerjasama dengan parti pemerintah tersebut.

“Dulu jelas mereka cuba untuk berpakat dengan UMNO. Bawa slogan politik matang dan sejahtera.

“Semua kenyataan-kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membela Najib (Datuk Seri Najib Razak),” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan Husam itu sebagai membalas dakwaan Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah yang mendakwa UMNO dan PAN berpakat termasuk sediakan dana untuk tumbangkan kerajaan negeri pada PRU 14.

“Saya dapat maklumat UMNO setuju bagi duit kepada PAN untuk buat kerja pilihan raya,” katanya.

Dalam perkembangan sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamad turut menafikan partinya menjalin kerjasama dengan PAN.

Mustapha berkata, tuduhan tidak berasas itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin politik apabila menjelangnya pilihan raya.

“Tidak timbul kita berpakat dengan Pas atau PAN untuk menjatuhkan mana-mana parti politik di negeri ini,” katanya. – MalaysiaGazette