Datuk Aziz Kaprawi

JOHOR BAHRU – Ringgit mengukuh bukan sahaja tanda kejayaan dasar ekonomi kerajaan Barisan Nasional (BN), malah dapat terus mewujudkan keyakinan perniagaan dan pengguna lebih tinggi.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Aziz Kaprawi berkata, beliau bersetuju denganĀ  keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tidak menambat matawang negara seperti mana yang pernah dilakukan pada tahun 1998/1999.

Ini kerana, kata Ahli Parlimen Sri Gading itu, tindakan tersebut hanya akan memperlihatkan kelemahan negara dalam bertindak secara tuntas terhadap memperbaiki ekonomi negara berikutan krisis penurunan harga minyak pada tahun 2015.

Tambah Timbalan Menteri Pengangkutan itu, sekiranya penambatan matawang dilakukan, pelabur dan pasaran global akan hilang keyakinan terhadap ekonomi Malaysia dan kebanyakan projek mega yang dirancang oleh Kerajaan tidak mampu untuk dilaksanakan.

“Kali terakhir saya melihat kadar pertukaran matawang Ringgit Malaysia berbanding USD adalah pada kadar yang tertinggi sejak April 2016 iaitu pada kadar 3.8853 berbanding USD.

“Ringgit Malaysia juga mendapat kedudukan pertama antara kesemua matawang Asia yang mengukuh berbanding USD dengan kadar peningkatan 4.14%. Matawang Thailand, Baht pula menduduki kedudukan kedua dengan peningkatan 3.6% manakala matawang Jepun, Yen di kedudukan ketiga dengan 3.36%,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pakar ekonomi Affin Hwang Investment Bank juga memberi komen bahawa pengukuhan Ringgit Malaysia adalah refleksi kepada keadaan ekonomi negara yang bertambah baik.

Menurutnya, perdana menteri juga memaklumkan di dalam Mesyuarat MT UMNO yang terkini bahawa selain ringgit yang mengukuh, kadar pertumbuhan KDNK juga tinggi, Bursa Saham berada di paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, kadar inflasi yang rendah dan terkawal serta kadar pengangguran di sekitar empat peratus.

“Kesemua indikator ini adalah bukti kepada kejayaan dasar yang dijalankan kerajaan Barisan Nasional yang hasilnya dapat dinikmati pada hari ini dan ini sekali gus mewujudkan suasana keyakinan perniagaan dan pengguna yang lebih tinggi mengikut laporan yang telah dibentangkan sebelum ini.

“Bank Dunia juga memberi laporan bahawa ekonomi Malaysia berkembang daripada kedudukan kukuh dan menjangkakan pertumbuhan sihat bagi tahun 2018,” katanya.

Justeru, beliau bersama rakan kepimpinan BN yang lain menyahut seruan Perdana Menteri untuk menjadikan 2018 sebagai tahun kejayaan dan keberhasilan mengagumkan sekali gus menjadi komitmen berterusan dan tidak berbelah bahagi mereka untuk memastikan Malaysia akan terus maju dan menjadi harapan pasti untuk masa depan rakyat dan negara. – MalaysiaGazette