Home Nasional Gajah pijak pemandu lori akan dipindahkan

Gajah pijak pemandu lori akan dipindahkan

KUALA LUMPUR – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar sedang mengesan dan akan memindahkan gajah liar yang memijak seorang pemandu lori sehingga cedera parah di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, semalam.

Menterinya Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perpindahan yang akan dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi mengelakkan konflik antara haiwan liar itu dan manusia berulang lagi.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kerana habitat gajah itu diganggu oleh manusia.

“Oleh itu, kita cuba elakkan konflik antara manusia dan haiwan dengan memindahkannya ke pusat konservasi),” katanya selepas majlis perasmian FRIM Incorporated (FRIM Inc) hari ini.

Beliau mengulas mengenai kejadian seorang lelaki parah selepas dikejar dan dipijak gajah, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, M Paramanazan, 69, patah tangan kiri, tulang rusuk kiri dan tulang leher selain luka di lengan kanan.

Mangsa bersama anaknya menaiki lori melalui JRTB ke arah Gerik dan memberhentikan lori di lokasi itu untuk melihat gajah. – MalaysiaGazette