Home Nasional Patuhi TTA elak kesesakan lalu lintas – PLUS

Patuhi TTA elak kesesakan lalu lintas – PLUS

PETALING JAYA – PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan kira-kira 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada setiap hari puncak pada cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Ia melibatkan peningkatan sebanyak 10.3 peratus berbanding hari-hari biasa.

Bagi mengurangkan kesesakan pada hari-hari puncak tersebut, PLUS menawarkan pemberian rebat tol pada beberapa hari bukan puncak dan mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA),” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Rebat tol 20 peratus ditawarkan pada empat hari bukan puncak iaitu 12, 13, 20 dan 21 Februari.

Pada tarikh-tarikh tersebut, rebat 20 peratus diberikan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membuat perjalanan melebihi 100 kilometer dan membayar tol menggunakan kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang telah didaftarkan menerusi portal PLUSMiles.

“Penawaran rebat tol 20 peratus tersebut merupakan langkah PLUS untuk menggalakkan orang ramai bergerak pada hari-hari bukan puncak di samping memberi penghargaan kepada pemegang-pemegang kad PLUSMiles dan Touch ‘n Go yang berdaftar dengan portal PLUSMiles kami,” tambah Azman.

Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa.

Rebat tol 20 peratus akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go masing-masing (dalam bentuk tambah nilai) apabila pemegang kad PLUSMiles atau Touch ‘n Go yang berdaftar menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Mac sehingga 14 Jun 2018.

Bagaimanapun, rebat itu tidak meliputi transaksi tol di Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

Selain daripada pemberian rebat tol, PLUS turut mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk membolehkan orang ramai merancang perjalanan mereka pada musim perayaan yang akan datang.

TTA yang dikeluarkan untuk perjalanan lebuh raya pada 9 Februari hingga 25 Februari ini bertujuan untuk mengagihkan trafik dan mengelakkan kenderaan terkumpul dan ‘bertembung’ di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama kerana ia boleh menyumbang kepada kesesakan.

Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang jauh seperti Johor, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak Utara disarankan supaya memasuki Lebuhraya Utara-Selatan lebih awal iaitu sebelum jam 10 pagi.

Manakala orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih dekat seperti Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Perak Selatan dan Perak Tengah pula disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 10 pagi.

“Dengan mematuhi TTA yang dikeluarkan PLUS, pergerakan trafik di lebuh raya akan menjadi lebih lancar kerana kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih jauh tidak akan bertembung dengan kumpulan kenderaan yang menuju ke destinasi yang lebih dekat,” jelas Azman. – MalaysiaGazette