PERANCIS – Sekurang-kurangnya lima pendatang asing telah ditembak di bandar pelabuhan Perancis di Calais, selepas berlaku pergaduhan besar antara warga Afghanistan dan Eritrea.
Empat remaja Eritrea berusia antara 16 hingga 18 tahun berada dalam keadaan kritikal dan telah dikejarkan ke hospital tempatan untuk pembedahan.
Lelaki kelima yang cedera pula dibawa ke hospital di Lille berdekatan kerana cedera teruk.
Sekurang-kurangnya 13 lagi cedera akibat pukulan besi, kata pejabat pendakwa tempatan.
Menteri Dalam Negeri Perancis, Gerard Collomb berkata, beliau akan membuat lawatan segera ke kawasan itu.
Pergaduhan itu dipercayai berlangsung hampir dua jam, berlaku di pinggir selatan bandar raya ketika para pendatang telah beratur untuk pemberian makanan.
Keganasan itu membabitkan kira-kira 100 warga Eritrean dan kira-kira 30 warga Afghanistan apabila berlaku serangan tembakan oleh pendatang Afghanistan.
Pergaduhan itu kemudian berlarutan di tapak perindustrian sekitar 5 kilometer dari lokasi keganasan pertama.
Polis campur tangan untuk melindungi pendatang Afghanistan yang menghadapi 150 hingga 200 pendatang Eritrea.
Anggota pasukan keselamatan Perancis telah dihantar ke kawasan itu.
Walaupun kem pelarian Calais yang dikenali sebagai Jungle telah dirobohkan pada tahun 2016, beratus-ratus pendatang masih berada di hutan berhampiran, dengan harapan untuk sampai ke United Kingdom.
Kebanyakan mereka adalah golongan muda lelaki.
Sejumlah 800 orang pendatang dilaporkan menetap di Calais. – MalaysiaGazette
















