Najib Razak bergambar kenangan bersama 1200 bakal jemaah haji pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Program Khas Haji 1MDB di Masjid Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 02 FEBRUARI 2018.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri membayangkan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) diadakan sebelum 14 Julai tahun ini.

Ketika menyerahkan surat tawaran haji kepada penerima Program Khas Haji Perdana Menteri tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Seri Najib Razak berkata, para peserta (haji) yang akan bertolak pada tarikh tersebut akan melepasi dahulu dua peristiwa ‘raya’.

“14 Julai bererti bahawa dua peristiwa akan terlepas, Hari Raya Aidilfitri dan satu lagi Hari Raya satu lagi, jadi dua-dua raya, baru tuan-tuan naik haji.

“Tetapi kita buat lebih awal lagi, lebih awal supaya tuan-tuan semat dalam hati,” katanya semasa menyampaikan surat tawaran itu di Masjid Putra.

Tempoh mandat Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional akan berakhir 24 Jun 2018.

Seramai 1,200 orang yang terdiri daripada imam, ketua kampung dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari seluruh negara menerima surat tawaran haji hari ini.

Program tersebut merupakan tahun kelapan penganjurannya sejak dilaksanakan pada 2011 dengan lebih 5,711 orang telah dihantar menunaikan ibadat haji.

Dalam ucapannya Najib berkata, Malaysia mampu menghantar jemaah haji dalam jumlah ramai setiap tahun ekoran hubungan baik yang dijalinkan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud dan kerajaan Arab Saudi.

“Program ini bermula dengan 111 orang pada tahun 2011 dan tahun ini telah dapat dipertingkatkan kepada 1,200 orang yang terpilih,” katanya. – MalaysiaGazette