Home Ekonomi Pelabur asing beli RM344.6j ekuiti tempatan minggu lalu

Pelabur asing beli RM344.6j ekuiti tempatan minggu lalu

KUALA LUMPUR – Aliran masuk pelabur asing ke Bursa Malaysia untuk minggu keenam tanpa tergugat meskipun pergerakan lebih perlahan.

Berdasarkan data awal, pelabur asing menyuntik sebanyak RM344.6 juta dalam ekuiti tempatan pada minggu lalu, kurang daripada separuh RM872.6 juta yang dibuat pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.

Sepanjang tiga hari dagangan, pelabur asing merupakan pelabur bersih untuk dua hari dengan belian RM186.8 juta pada Isnin berikutan kenaikan dalam saham-saham perbankan, yang mana bank-bank mendapat faedah kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang diumumkan pada 26 Januari.

Firma penyelidikan tersebut menambah, selain itu, penanda aras FBM KLCI juga merekodkan paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun kepada 1,870 mata pada hari yang sama.

Tetapi pada hari Selasa, aktiviti pengambilan untung menyaksikan pelabur asing menjual RM70.6 juta ekuiti tempatan.

Satu lagi faktor pemacu jualan asing hari Selasa apabila kenaikan berhenti di Wall Street di tengah-tengah kebimbangan kadar faedah yang lebih tinggi berikutan kenaikan dalam hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, pelabur asing meneruskan urus niaga pada hari Jumaat selepas bercuti dua hari dengan aliran masuk bersih sebanyak RM228.5 juta, tertinggi dalam enam hari dagangan.

Sepanjang bulan Januari, pelabur asing telah membeli sejumlah RM3.38 bilion, lapan kali lebih tinggi berbanding RM418.8 juta yang dibeli pada tempoh sama tahun lalu.

MIDF Research berkata, penyertaan pelabur asing kekal aktif dengan nilai dagangan purata harian asing (ADTV) melepasi RM1 bilion sepanjang lima minggu.

Berasaskan mingguan, ADTV asing naik sebanyak 46 peratus daripada RM1.1 bilion pada minggu sebelumnya kepada RM1.6 bilion minggu lalu – tertinggi sejak Jun tahun lepas.

Pasaran runcit juga sama menarik kerana ADTV kekal RM1 bilion meskipun penurunan mingguan 9.0 peratus kepada RM1.3 bilion. – MalaysiaGazette