Datuk Seri S. Subramaniam

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bertegas tidak akan sesekali menggunakan Dengvaxia untuk mencegah demam denggi kerana berkemungkinan boleh mendatangkan maut.

Dengvaxia merupakan vaksin pertama di dunia untuk mencegah demam denggi.

Menterinya, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, kajian mengenai Dengvaxia juga telah dihentikan setahun lalu berikutan tiada bukti kukuh tentang keberkesannyanya mencegah demam denggi.

“Kita tidak pernah kenalkan vaksin itu kerana tiada bukti kajian yang membuktikan keberkesanan dalam mencegah penyakit denggi malah ada juga kesangsian ianya boleh memudaratakan sehingga mendatangkan maut.

“Saya sendiri telah bertindak menghentikan kajian dengan lebih mendalam tentang produk vaksin itu kerana beranggapan ianya merbahaya dan tidak mampu mengekang penyakit denggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan berita Dengvaxia disyaki menjadi punca kematian tiga individu di Filipina, sekali gus membuktikan bahawa ia belum cukup sempurna untuk digunakan secara meluas.

Tambah Subramaniam, Filipina merupakan antara negara terawal yang menggunakan vaksin tersebut bagi mencegah denggi sejak dua tahun lalu.

“Flipina juga antara negara yang mungkin terkesan selepas penggunaan vaksin itu di negara mereka. Selagi kajian yang komprehensif tidak dijalankan ke atas vaksin tersebut, kita jangan sesekali ambil risiko,” tegasnya.

Agensi berita Reuters melaporkan, pengeluar ubat dari Perancis, Sanofi pada tahun lalu mendedahkan, vaksin itu mungkin meningkatkan risiko penyakit dalam kalangan individu yang tidak pernah menghidap demam denggi.

Pendedahan itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat kerana vaksin telah diberikan kepada lebih 800,000 pelajar sekolah sejak 2016.

Kementerian Kesihatan Filipina sudah menggantung pemberian Dengvaxia sejak November lalu, dan menubuhkan jawatankuasa untuk menyiasat serta mengenal pasti sama ada vaksin itu menjadi penyebab kematian 14 murid.

Setiausaha kementerian Filipina, Enrique Domingo berkata, kematian terbaharu itu juga mempunyai kaitan dengan penggunaan vaksin Dengvaxia. – MalaysiaGazette