Datuk Seri Ismail Abd Muttalib

PUTRAJAYA – Tiga persatuan hotel hari ini menandatangani aku janji bersama-sama Kementerian Sumber Manusia untuk tidak menetapkan sebarang polisi yang melarang pekerja wanita hotel memakai tudung.

Tiga persatuan berkenaan ialah Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Persatuan Pemilik Hotel Malaysia dan Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MYBHA), yang mewakili lebih 3,000 hotel di negara ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib berkata melalui aku janji itu, semua hotel berkenaan diharap mematuhi semua yang telah dipersetujui termasuk berhubung larangan bertudung.

“Kementerian amat berbesar hati dengan kesungguhan mereka yang terlibat dalam memastikan hak-hak pekerja tidak didiskriminasikan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan,” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani aku janji itu di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak sesekali berkompromi dengan sebarang isu yang melibatkan diskriminasi terhadap pekerja.- BERNAMA