Hashim Jasin
Hashim Jasin

KUALA LUMPUR – Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dilaporkan akan kembali bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU-14) sebagai calon parti itu di Arau.

Langkah Hashim itu pastinya bakal menyaksikan pertembungan beliau dengan penyandang kerusi itu, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Perkara itu disahkan Pesuruhjaya Pas Negeri, Mohd. Shukri Ramli yang juga ADUN Sanglang.

“Insya-Allah Mursyidul Am Pas akan kembali bertanding di Parlimen Arau,” katanya memetik laporan Berita Harian Online.

Malah kerusi Parlimen Arau turut akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) juga mahu mengintai kerusi milik UMNO Perlis itu sebagai wakil Pakatan Harapan (PH).

Kali terakhir Hashim bertanding dalam PRU adalah pada 2008 iaitu di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang dengan menang majoriti 149 undi.

Malah, Hashim juga pernah memenangi kerusi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 1998 selepas menewaskan calon BN, Datuk Ismail Kassim.

Hashim menang dengan majoriti sebanyak 1,323.

Parlimen Arau merupakan kawasan tradisi Pas khususnya ketika bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Dr. Haron Din bertanding di kerusi tersebut pada 2004, 2008 dan pilihan raya lalu. -MalaysiaGazette.