KUALA LUMPUR – Kerajaan Singapura akan me­ngurangkan kadar levi dan tol di laluan kedua Malaysia-Singapura (LinKedua) berkuat kuasa 1 April ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, ini kerana pihak berkuasa negara jiran itu memerlukan tempoh masa bagi penyesuaian sistem sedia ada.

“Kementerian mengalu-alukan pengumuman ini yang membolehkan pengguna jalan raya tidak perlu keluar dan sesak di Tambak Johor sepanjang masa sementara siapnya Sistem Rapid Transit (RTS) yang menghubungkan Bukit Chagar, Johor Bahru dan Woodlands Utara di Singapura.

“Cuma saya difahamkan kerajaan Singapura akan mengurangkan levi itu bermula 1 April ini sebagai tempoh penyesuaian sistem sedia ada.

“Saya ingin memuji tindakan kerajaan Singapura yang cepat dan pantas dalam isu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya dan ops bersepadu sempena perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan Tahun 2018 di sini hari ini.

Tiong Lai mengulas pengumuman kerajaan yang bersetuju me­ngurangkan kadar levi dan tol di laluan LinKedua berkuat kuasa 13 Februari ini yang dijangka dapat mengurangkan ken­deraan komersial di Tambak Johor sebanyak 40 peratus.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pengurangan bayaran itu diyakini ber­upaya memberi impak positif dan kelebihan selain membantu mengukuhkan ekonomi Malaysia.

Berikutan pengurangan itu, levi kenderaan komersial di Linkedua adalah RM50 bagi ke­dua-dua laluan keluar dan masuk ke Malaysia berbanding antara RM100 hingga RM200 ketika ini manakala caj tol di luar waktu puncak iaitu antara pukul 10 pagi hingga 3 petang dan pukul 11 malam hingga 5 pagi untuk semua kenderaan kecuali motosikal pula dikurangkan antara 47 peratus hingga 82 peratus mengikut kelas kenderaan.

Kadar untuk kenderaan per­sendirian dikurangkan daripada RM7.50 kepada RM4, teksi daripada RM5.70 kepada RM3, bas daripada RM9.10 kepada RM4.50 manakala kenderaan komersial bagi kedua-dua kelas 2 dan 3 dikurangkan daripada RM17.10 dan RM34.30 kepada RM4.50 dan RM6.10, sama seperti kadar di Tambak Johor.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia dan Singapura sebelum ini sudah mengadakan perbinca­ngan mendalam dan langkah itu diputuskan bagi menyelesaikan isu kesesakan yang berlaku di Tambak Johor selain menggalakkan kedatangan pelancong Si­ngapura dan negara lain ke Johor untuk membeli-belah serta pelbagai urusan lain. – MalaysiaGazette