Clayton da Silveira da Silva.

KUALA LUMPUR – Perak FC terus mempertajamkan bahagian serangannya apabila mendapatkan penyerang import Brazil, Clayton da Silveira da Silva atau Clayton bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M)  bulan depan.

Perpindahan beliau diumumkan pengurusan The Bos Gaurus di platform media sosial rasmi kelab itu.

“Perak FC hari ini mengumumkan ketibaan pemain berasal dari Brazil, Clayton da Silveira da Silva.

“Clayton yang bermain selaku penyerang akan memperkuatkan jentera serangan Perak FC pada musim 2024/25. Selamat datang ke keluarga Perak FC, Yob Clayton!” kata Perak dalam satu kenyataan.

Kehadiran pemain berusia 28 tahun itu melengkapkan senarai lapan tenaga import yang membawa cabaran The Bos Gaurus untuk musim 2024/25.

Perak mengekalkan khidmat empat tonggak import musim 2023 iaitu Jesper Nyholm, Luka Milunovic, Sunday Afolabi dan kapten, Luciano Guaycochea.

Selain itu, The Bos Gaurus turut membawa masuk Luiz Henrique Motta, Adilet Kanyebekov dan Lee Tae-min untuk mengisi tiga slot pemain import pasukan itu.

Sebelum ini, pasukan utara tanah air itu dikaitkan dengan penyerang Colombia yang beraksi di Liga Super India (ISL), Jordan Wilmar.

Bagaimanapun, usaha membawa Wilmar ke Stadium Perak tidak dapat direalisasikan dan mendorong pengurusan Perak mencari sasaran alternatif.

Sementara itu, Clayton memulakan kariernya sebagai peledak di negara kelahirannya, Brazil sebelum menerima tawaran kelab Ukraine, Dynamo Kyiv pada 2020.

Seperti rakan senegaranya, Motta, ia merupakan perpindahan pertama Clayton ke benua Asia dalam karier bola sepaknya.

Dia dijangka menjadi peledak utama Perak dengan sokongan Alif Zikri, Hadi Fayyadh dan bekas penyerang Kelantan FC, Harith Akif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast