Home Nasional Larangan main mercun masih kekal

Larangan main mercun masih kekal

KUALA LUMPUR – Larangan memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun dan bunga api menjelang Tahun Baru Cina masih berkuatkuasa.

Hanya bunga api jenis ‘Pop-Pop’ dan “Happy Boom’ sahaja yang dibenarkan kerana tidak mengandungi bahan bakar yang boleh membahayakan keselamatan.

Bagaimanapun, penjualan kedua-dua jenis mercun berkenaan perlu mendapatkan permit di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan mengikut spesifikasi ditetapkan.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad, sesiapa yang didapati memiliki, menjual, membeli atau bermain mercun atau bunga selain yang dibenarkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 7 dan 8 Akta Bahan Letupan 1958 (Akta 207) dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Tambahnya, bermain dan membakar mercun atau bunga api juga dihukum penjara tidak lebih satu bulan atau denda sehingga RM100 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan Kecil 1955.

Mana-mana pihak yang mengilang, memiliki atau mengimport mercun dan bunga api tanpa permit pula boleh didakwa mengikut Seksyen 4(2) Akta Bahan Letupan 1957 dan ssabit kesalahan boleh dikenakan lima tahun penjara atau denda RM10,000 atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette